Umno Puchong putus kerjasama dengan PH

Umno Puchong putus kerjasama dengan PH

Setiausaha Mohamad Yusof berkata keputusan dibuat susulan kegagalan Yeo Bee Yin memohon maaf di atas hantaran 'meraikan' keputusan penolakan rayuan tahanan rumah Najib Razak.

Umno Puchong menegaskan tindakan Yeo Bee Yin daripada DAP tidak menghormati maruah parti itu.
PETALING JAYA:
Umno Puchong memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) susulan kegagalan Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin memohon maaf di atas hantaran ‘meraikan’ keputusan penolakan rayuan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Setiausahanya Mohamad Yusof Mohamed Yassin berkata berkuat kuasa serta merta tiada lagi kerjasama di peringkat Parlimen diwakili Yeo selain DUN Seri Serdang dan Seri Kembangan.

Menurutnya, Umno Puchong tidak lagi terikat dengan sebarang persefahaman tidak rasmi atau mempertahankan kepentingan politik PH dan bebas mengambil pendirian sendiri dalam semua isu tempatan.

“Keputusan ini membawa mesej yang kami tidak bersetuju dan menolak sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong.

“Kami juga berpandangan maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu telah dicabar dan tidak dihormati,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai rekod, Umno tidak mempunyai wakil rakyat dan menguasai DUN di bawah Parlimen Puchong.

Isnin lalu, Yeo memuat naik hantaran berkata “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah, atas alasan tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan ia dilaksanakan.

Najib, 72, sebelum ini disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula 23 Ogos 2022.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, yang melabel tindakan Yeo sebagai ‘amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian’.

Asyraf juga berkata, mungkin sudah tiba masanya Umno menilai kembali jalinan kerjasama ‘jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.