
Hamzah dalam kenyataan berkata segala keputusan dan pendirian politik harus berpaksikan kepentingan rakyat, negeri dan demi kestabilan jangka panjang.
“Rakyat menaruh keyakinan penuh Raja Perlis akan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa prerogatif Baginda selaras dengan Perlembagaan Negeri, bagi menentukan pelantikan menteri besar baharu.
“Keutamaan adalah bagi memastikan Kerajaan Perlis terus berfungsi dengan baik dan dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kebajikan serta keperluan rakyat.
“Ini selaras dengan mandat dan harapan diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 yang lalu,” katanya.
Semalam, Adun Sanglang Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan menteri besar Perlis selepas tiga tahun menggalas amanah itu.
Beliau memberi alasan faktor kesihatan.
Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi akuan berkanun (SD) diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.
Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.
Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian tiga Adun berkenaan, iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).
Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).
Selepas pendedahan mengenai SD itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, serta Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap Adun terlibat.