PH harap ‘percaturan politik’ di Perlis dihenti segera

PH harap ‘percaturan politik’ di Perlis dihenti segera

Gabungan pembangkang itu mahu mandat rakyat pada PRU15 dihormati bukan buka ruang pergolakan dalaman atau percaturan kuasa.

Shukri Ramli bakal kehilangan majoriti mudah untuk terus menjadi menteri besar jika lapan Adun tarik balik sokongan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Perlis berharap sebarang pergolakan dan percaturan politik dalam pentadbiran negeri itu diselesaikan dan dihentikan segera.

PH yang mempunyai satu wakil di DUN turut menyokong pentadbiran Perlis Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS kekal memerintah sehingga tamat penggal.

Gabungan itu dalam kenyataan berkata langkah itu untuk memastikan kestabilan,menjimatkan kewangan kerajaan daripada ketidaktentuan politik.

“Keutamaan kerajaan negeri seharusnya kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, kos sara hidup dan kemajuan negeri secara mampan,” katanya sambil meminta mandat rakyat pada PRU15 lalu dihormati.

“Ia bukan ruang untuk pergolakan dalaman atau percaturan kuasa yang hanya menimbulkan keresahan awam serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pentadbiran negeri.”

Kenyataan itu susulan wujud spekulasi pergolakan politik dalam PN apabila dilaporkan lapan Adunnya menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, menyatakan mereka lagi menyokong pentadbiran Shukri Ramli sebagai menteri besar.

Pengerusi PN Perlis Shahidan Kassim dipetik berkata tindakan itu hanya melibatkan individu, memandangkan tiada sebarang persetujuan rasmi berhubung perkara itu di peringkat kepimpinan pusat.

Pada PRU15, PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis. Tanpa sokongan lapan wakil rakyat itu, Shukri bakal kehilangan majoriti mudah untuk terus menjadi menteri besar.

Sumber itu mendakwa Bersatu berada di sebalik tindakan itu untuk menguasai negeri dan melantik menteri besar dari wakilnya.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali menyeru seluruh ahli dan penyokong parti itu supaya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Shukri sebagai menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.