
“Terima kasih Pakatan Harapan (PH) Perlis. Hairannya ada pihak yang serah nama walaupun minoriti,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari di Facebooknya hari ini.
Ini selepas kenyataan PH Perlis yang menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Perlis Perikatan Nasional (PN) diterajui PAS itu untuk kekal memerintah sehingga tamat penggal.
Gabungan itu yang mempunyai satu wakil di DUN berkata langkah itu untuk memastikan kestabilan,menjimatkan kewangan kerajaan daripada ketidaktentuan politik.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Bersatu mengemukakan tiga nama adunnya sebagai calon antaranya Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun terbabit menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Perlis Shukri Ramli.
Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar, Izizam, Megat Hashirat, Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang); dan Marzita Mansor (Sena).
Selain itu, tiga wakil rakyat PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) turut dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri.
Keadaan ini dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN yang dikuasai PN untuk terus menjadi menteri besar.