
Shahidan tidak menolak kemungkinan kemelut membabitkan akuan berkanun (SD) itu melibatkan tindakan secara individu memandangkan tiada sebarang persetujuan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut pada masa ini.
“Apa yang berlaku sekarang lebih kepada spekulasi. Kita akan menghadiri mesyuarat di peringkat pusat dan kepimpinan akan memutuskan langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas sebuah majlis di Arau hari ini, lapor Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat seharusnya ditentukan oleh parti pada peringkat pusat, termasuk membabitkan penentuan calon menteri besar, dan keputusan dibuat parti akan disampaikan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Justeru, katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi PN pada peringkat pusat untuk memutuskan hala tuju pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, Shahidan yang menyifatkan situasi tersebut sebagai ‘perbezaan pendapat’, bukannya krisis besar, berkata perkara lebih utama adalah mencari penyelesaian secara berhemah.
“Kita menang (PRU) kerana rakyat melihat kita bersatu. Saya tidak mahu perkara ini dijadikan alasan oleh mana-mana pihak untuk melemahkan PN,” katanya.
“Maka saya menyeru semua pihak supaya bertenang, tidak membuat kenyataan berlebihan dan memberi ruang kepada kepimpinan pusat untuk membuat keputusan muktamad.”
Semalam, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun terbabit menyerahkan SD kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.
Menurut sumber, lima daripada mereka terdiri daripada wakil rakyat Bersatu, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis); Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang); dan Marzita Mansor (Sena).
Selain itu, tiga wakil rakyat PAS iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) turut dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri.
Keadaan ini dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN yang dikuasai PN untuk terus menjadi menteri besar.
Shukri sebelum ini dilaporkan sedang menerima rawatan di Kuala Lumpur selepas mengalami sakit dada ketika pulang dari lawatan ke luar negara.