PRK Lamag: BN tak tolak kemungkinan calon luar Umno Kinabatangan

PRK Lamag: BN tak tolak kemungkinan calon luar Umno Kinabatangan

Ketua Penerangan Umno Sabah Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata calon akan diputuskan pada 30 Dis ini.

BN Supporters
BN akan mempertahankan kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang kosong susulan kematian Bung Moktar Radin.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon daripada luar kepimpinan Umno Kinabatangan bagi menghadapi PRK Lamag, kata Ketua Penerangannya, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi.

Adun Liawan itu berkata penentuan calon DUN akan dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik Umno Sabah pada 30 Dis ini, selepas Pengerusi BN Zahid Hamidi menamakan Naim Kurniawan, anak Bung Moktar Radin sebagai calon PRK Parlimen Kinabatangan.

Bagi kerusi DUN Lamag pula, Zahid meminta Ketua Umno Sabah, Jafry Ariffin untuk mengumumkannya.

“Berhubung PRK Lamag dan Kinabatangan, setakat ini dimaklumkan BN akan bertanding di peringkat Parlimen dan DUN. Kita tak nafikan kemungkinan ada calon daripada luar Umno Kinabatangan.

“Tetapi, calon masih belum dimuktamadkan.. mesyuarat Biro Politik Umno Sabah dijadualkan pada 30 Dis ini untuk membincangkan perkara tersebut,” katanya kepada FMT.

Menurut Nadzri, keutamaan parti adalah memastikan calon yang dipilih benar-benar mempunyai peluang menang serta mendapat sokongan rakyat.

“Yang penting, calon itu adalah pilihan rakyat. Sudah sampai masanya kita mendengar suara rakyat,” katanya.

Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Dis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Jan depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Jan.

Mengulas pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno Sabah menggantikan Ahli Parlimen Libaran Suhaimi Nasir, Nadzri menyifatkan amanah itu sebagai satu penghargaan dan tanggungjawab besar dalam usaha memperkukuh imej parti.

“Ia adalah amanah untuk membawa wajah baharu BN, khususnya Umno di Sabah, dengan menggabungkan kekuatan pemimpin lama dan baharu bagi meneruskan perjuangan parti,” katanya.

Beliau mengakui Umno Sabah berdepan cabaran persepsi sebagai parti luar, namun menegaskan Umno Sabah mempunyai autonomi untuk membuat keputusan dan mentadbir negeri itu sendiri.

“Inilah masanya untuk kita membuktikan kepada rakyat bahawa Umno Sabah membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi Umno pusat dan sentiasa bekerja untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Nadzri berkata Umno telah bertapak di Sabah hampir 34 tahun dan cabaran utama kini adalah membuktikan parti itu benar-benar sebuah parti tempatan yang komited membawa pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat dengan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam kerajaan perpaduan Sabah.

“Kita perlu membawa kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri, dengan fokus utama kepada pembangunan dan kemajuan negeri Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.