40% hasil hak Sabah menurut MA63, bukan ehsan persekutuan, tegas setpol KM

40% hasil hak Sabah menurut MA63, bukan ehsan persekutuan, tegas setpol KM

Mazlan Joehari mengingatkan tuntutan dan suara rakyat Sabah adalah 'hasil ketidakadilan berpanjangan'.

Arial view of city - Kota Kinabalu, Sabah
Sabah memerlukan pemenuhan hak agar kerajaan negeri dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunannya, kata setiausaha politik kepada ketua menteri, Mazlan Joehari.
PETALING JAYA:
Sabah menuntut 40% hasil persekutuan yang diperolehi daripada negeri itu dikembalikan kerana ia adalah hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tegas setiausaha politik kepada ketua menteri.

Mazlan Joehari mengulas perbahasan dalam kalangan ahli politik Semenanjung berkenaan tuntutan rakyat Sabah dan keputusan mahkamah berkenaan, khususnya berkait kelangsungan kerajaan persekutuan dalam memenuhi MA63 dan melaksanakan keputusan mahkamah.

Mazlan Joehari Manan
Mazlan Joehari.

Mazlan mengingatkan tuntutan dan suara rakyat Sabah adalah “hasil ketidakadilan berpanjangan” kerajaan persekutuan terhadap Sabah.

“Kami tidak meminta lebih dan tidak mengganggu hak sesiapa. Kami hanya menuntut hak kami yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia,” menurut kenyataan.

Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Hakim Celestina Stuel Galid mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah ‘tidak sah, ultra vires dan tidak rasional,’ serta melanggar Perlembagaan.

Mahkamah turut mengeluarkan perintah mandamus yang memerintahkan kerajaan persekutuan menjalankan semakan semula hasil bersama kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju dengan hak 40% Sabah bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.

Mazlan menegaskan Sabah memerlukan pemenuhan hak agar kerajaan negeri dapat memainkan peranan lebih besar dalam merancang dan melaksanakan pembangunan sendiri, dan tidak boleh terus bergantung pada ehsan kerajaan persekutuan.

Beliau menyorot perhatian kepada jurang pembangunan dan kemajuan ketara antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, keluasan Sabah dan Sarawak yang jauh lebih besar berbanding Semenanjung, serta limpahan pembangunan di Kuala Lumpur dan Johor yang memberi impak sehingga ke Kelantan namun tidak secara langsung’ kepada Sabah.

Mazlan menyimpulkan bahawa pendekatan pembangunan serta agihan hasil perlu mengambil kira realiti tersebut.

“Sabah perlu dilayan secara lebih adil dan saksama mengikut keperluan serta keutamaannya. Sabah tidak wajar disamakan dengan negeri-negeri seperti Melaka atau Pahang kerana dari segi keluasan sahaja sudah jauh berbeza,” katanya.

Mazlan menerangkan bahawa keadilan kepada Sabah dan Sarawak menuntut keikhlasan pembesar serta penjawat awam persekutuan dalam memahami dan melaksanakan dasar yang adil, bukan sahaja perlu dizahirkan melalui keputusan kepimpinan politik.

“Keadilan mesti datang bersama keikhlasan jika benar mahu melihat Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.