Najib kekal di Penjara Kajang

Najib kekal di Penjara Kajang

Hakim Alice Loke putus bekas perdana menteri gagal membuktikan kesnya dalam rayuan titah adendum.

najib razak
Bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang menjalani pengurangan hukuman penjara enam tahun susulan sabitan kes rasuah SRC International di Penjara Kajang, mahu menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak rayuan bekas perdana menteri, Najib Razak, untuk menjalani tahanan rumah.

Hakim Alice Loke menolak permohonan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan susulan sabitan kes SRC International melalui tahanan di rumah.

Ketika menolak permohonan semakan kehakiman Najib, Loke berkata Yang di-Pertuan Agong merupakan raja berperlembagaan dengan kuasa serta fungsi baginda dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali.

“Titah adendum tersebut tidak dipertimbang atau diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61. Tiada pematuhan terhadap Perkara 42 Perlembagaan,” katanya.

“Justeru, ia bukan satu perintah yang sah. Responden tidak mempunyai kuasa dan tiada kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya. Sebaliknya, pemohon tidak mempunyai hak terhadap remedi mandamus.”

Hakim tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Najib, 72, disabitkan bersalah kerana menyalahgunakan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan telah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada 12 tahun kepada enam tahun, selain menurunkan jumlah denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tahun lalu, satu permohonan semakan kehakiman difailkan bagi memaksa kerajaan melaksanakan addendum atau titah tambahan, yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Najib mendakwa titah tambahan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan, dan menegaskan kerajaan telah menghina mahkamah kerana gagal melaksanakannya.

Pada 6 Jan tahun ini, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 membenarkan addendum tersebut dikemukakan sebagai bahan bukti, selain memberi kebenaran kepada bekas perdana menteri itu untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.