Hiasan Krismas tiada kena mengena status halal, kata Akmal

Hiasan Krismas tiada kena mengena status halal, kata Akmal

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh seru Jabatan Agama Islam Melaka teliti semula keputusan larang hiasan Krismas bagi premis halal di negeri itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal berkata dekorasi Krismas dalam dapur tidak menjadikan makanan dan minuman yang telah disahkan halal itu menjadi ‘haram’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Susulan kritikan pemimpin DAP, kini Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tampil menyeru Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) meneliti semula keputusan larangan hiasan Krismas bagi premis halal di negeri itu.

Akmal, yang juga Adun Merlimau, berkata penentuan halal bagi makanan dan minuman bergantung sepenuhnya kepada sumber bahan dan cara penyediaan, bukannya elemen dekorasi di premis.

“Maksudnya, kalau sumber makanan dan minuman itu terbukti halal, dan cara penyediaannya pun secara halal maka ia adalah halal. Tiada kena mengena dengan dekorasi.

“Dekorasi Krismas di dalam dapur tidak menjadikan makanan dan minuman yang telah disahkan halal itu menjadi ‘haram’,” katanya menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook.

Tambahnya, beliau juga telah berbincang dengan beberapa mufti yang turut bersetuju status halal tidak terjejas kerana hiasan perayaan.

“Tadi, saya pun cuba bincang dengan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama (Melaka) Rahmad Mariman…dan saya mohon jasa baik Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk melihat kembali keputusan yang telah dikeluarkan,” katanya.

Terdahulu, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dari DAP menggesa kerajaan Melaka mengesahkan sama ada premis makanan dan hotel yang mempunyai sijil halal di negeri itu dilarang memasang hiasan Krismas.

Beliau turut menyarankan Jaim menarik balik larangan itu kerana arahan sedemikian satu langkah ke belakang bagi Melaka.

Pemuda DAP Melaka turut mengkritik arahan tersebut yang melangkaui kuasa Jaim kerana mengawal ekspresi budaya komuniti lain, mengelirukan komuniti perniagaan serta mengancam imej Melaka sebagai negeri progresif serta mesra pelancong.

Sebelum ini, tular surat pekeliling Jaim menyatakan larangan hiasan Krismas di premis mana-mana hotel atau cawangan di Melaka yang mempunyai sijil halal, memandangkan Krismas adalah sambutan keagamaan, bukan kebudayaan, dan boleh ‘menimbulkan isu berkaitan akidah’.

Katanya, pihak pengurusan hotel boleh memasang perhiasan sedemikian di ‘kawasan hotel yang tidak mempunyai pensijilan halal’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.