Umno tambah kuat, DAP hilang pengaruh dalam rombakan Kabinet, kata penganalisis

Umno tambah kuat, DAP hilang pengaruh dalam rombakan Kabinet, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata tidak mengejutkan apabila DAP diturun taraf kerana terlalu banyak buat tuntutan seperti isu pengiktirafan UEC.

Hannah Yeoh dan Steven Sim dari DAP diberikan portfolio baharu, lebih kecil dalam Jemaah Menteri, manakala Johari Ghani dan Noraini Ahmad diberi tanggungjawab baharu yang lebih besar.
PETALING JAYA:
Penganalisis politik berkata rombakan Jemaah Menteri terbaharu Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencerminkan satu penyesuaian semula yang menyaksikan kedudukan Umno lebih kuat, manakala DAP dilihat kehilangan pengaruh.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan kedudukan DAP dalam rombakan Jemaah Menteri itu umpama turun taraf.

“Ya, Loke Siew Fook kekal sebagai menteri pengangkutan, tetapi Steven Sim diberikan portfolio yang lebih kecil,” katanya kepada FMT, merujuk kepada pertukaran Sim daripada Kementerian Sumber Manusia ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Tidak mengejutkan apabila DAP diturun taraf kerana parti itu dilihat terlalu banyak buat tuntutan, khususnya mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sedangkan ia dalam kedudukan yang lemah.”

Sebaliknya, Azmi berkata rombakan tersebut menunjukkan kedudukan Umno semakin kuat.

“Bagi Umno, ini adalah satu peningkatan, khususnya apabila Johari Ghani mengambil alih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, yang merupakan portfolio penting. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap Umno,” katanya.

“Noraini (Ahmad) juga telah dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh (memegang portfolio perladangan dan komoditi).”

Rombakan Jemaah Menteri oleh Anwar, yang kedua sejak membentuk kerajaan perpaduan, melibatkan 10 menteri baharu, 18 timbalan menteri, dan 14 menteri yang dipindahkan ke portfolio berbeza.

Selain jawatan baharu Johari, perubahan penting lain termasuk Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Nasir sebagai menteri ekonomi yang baharu, serta Hannah Yeoh sebagai menteri wilayah persekutuan.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata perubahan yang melibatkan tokoh DAP boleh dilihat secara meluas sebagai satu mesej kepada pengundi Melayu.

“Pemindahan menteri-menteri DAP hanya boleh dibaca sebagai isyarat kepada orang Melayu di peringkat akar umbi bahawa Anwar sedang mengukuhkan pendiriannya terhadap wakil-wakil Cina dan mendorong kehadiran Melayu yang lebih kuat dalam kerajaan,” katanya.

“Ini semua bertujuan untuk memenangi hati pengundi Melayu menjelang PRU akan datang.”

Kumpulan dalam PKR diuruskan

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata Anwar berhati-hati dalam mengurus keseimbangan kumpulan dalam PKR, khususnya selepas Rafizi Ramli melepaskan portfolio ekonomi susulan kekalahannya sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti pada Mei.

“Ia jelas menunjukkan kem Rafizi masih diberikan ruang. Ini menunjukkan perdana menteri bersikap terbuka dan tidak meminggirkan mana-mana kumpulan,” katanya.

“Pelantikan tokoh seperti Syed Ibrahim Syed Noh (yang dilihat selari dengan Rafizi) sebagai timbalan menteri menunjukkan bahawa perdana menteri tidak mahu PKR berpecah. Sebaliknya, beliau cuba membina perpaduan dan merapatkan saf dalam parti.”

Sabah dan Sarawak tidak dipinggirkan

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata rombakan tersebut turut mencerminkan keprihatinan untuk mengelakkan Sabah dan Sarawak dipinggirkan.

“Sebagai contoh, seorang ahli DAP Sarawak dilantik sebagai timbalan menteri persekutuan walaupun parti itu merupakan pembangkang di Sarawak,” katanya, merujuk kepada pelantikan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

“Ini bagi mengelakkan pemimpin Pakatan Harapan di Sarawak berasa dipinggirkan dalam rombakan tersebut, terutamanya dengan PRN Sarawak yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.