Rakyat curiga hala tuju rombakan kementerian ‘berpengaruh besar’, kata Hamzah

Rakyat curiga hala tuju rombakan kementerian ‘berpengaruh besar’, kata Hamzah

Ketua Pembangkang persoal rombakan Kabinet terutama kementerian banyak berkait Bumiputera.

Hamzah Zainudin
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin persoal sama ada rombakan itu akibat tekanan politik dengan menteri dikatakan tidak berprestasi masih kekal.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mempersoal sama ada rombakan Kabinet semalam dibuat didorong tekanan politik atau habuan kuasa yang didakwanya menimbulkan kecurigaan rakyat.

Katanya, beliau menerima banyak maklum balas rakyat mengenai hala tuju sebenar rombakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Persoalan ini berasas, terutamanya apabila kementerian-kementerian yang mempunyai pengaruh besar terhadap kerajaan tempatan dan wilayah, kini dikuasai satu parti yang sebelum ini lantang memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Pada masa sama, perubahan kementerian strategik seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang menjadi tunjang pengukuhan ekonomi khususnya dalam membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) yang kebanyakannya Bumiputera juga perlu diperjelaskan secara telus,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, termasuk pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Selain pertukaran portfolio menteri sedia ada, ia antara lain melibatkan enam timbalan menteri dan satu muka baharu yang diangkat menteri penuh.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan khuatir pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina bagi portfolio Wilayah Persekutuan hanya percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur mahupun pusat bandar utama di negara ini.

Ini selepas rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan wakil rakyat Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata timbul keraguan apabila menteri yang prestasi serta tindak-tanduknya dipersoal rakyat secara terbuka terus dikekalkan, selain menyuarakan pelantikan baharu yang latar belakang boleh dipertikai.

“Rombakan Kabinet bukan sekadar soal menukar wajah, tetapi ia mestilah menzahirkan keupayaan kerajaan menjawab kegagalan sedia ada. Bukannya semata-mata demi untung secupak hingga rugi segantang kerana yang menanggung kesannya adalah rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut dikekalkan walaupun dilihat paling berisiko digantikan dalam rombakan Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.