
Ini selepas rombakan Jemaah Menteri yang menyaksikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri dan wakil rakyat Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, di sebalik pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.
Menurut Takiyuddin, langkah itu dilihat bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar urban serta pengurusan tanah dan perumahan tanpa proses semak imbang berkesan dan telus.
“Pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, apatah lagi dengan adanya inisiatif kontroversi seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB).
“Akta itu dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, dikhuatiri ia akan melebarkan jurang sengketa antara masyarakat dan wilayah yang akhirnya membawa kepada kelunturan nilai kesatuan kebangsaan dalam jangka masa panjang.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata timbul persepsi meluas pelantikan itu tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, sebaliknya susulan tekanan politik termasuk spekulasi ‘kata dua’ oleh DAP berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Sekiranya jawatan kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, ia jelas hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip,” katanya sambil menambah ia turut melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara.
Sebagai rekod, dua tahun lalu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.