
Ketua Menteri Hajiji Noor meminta semua pihak bersabar terutama berhubung mekanisme formula pembayaran, serta isu lain yang termaktub bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tidak perlulah kita bincangkan itu, persoalkan di sini kerana ada satu lagi mesyuarat akan diadakan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, kalau saya tidak silap 19 Dis ini.
“Kita tunggu lah mekanisme formula pembayaran itu. Kalau tanya saya sebagai anak Sabah, saya ikut Perlembagaan sahaja. Selesai. Hal ini telah kita kemukakan berkali-kali dalam mesyuarat MA63,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 pada persidangan DUN Sabah.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melebihi kuasa perlembagaannya apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil negeri bagi 1974 hingga 2021.
Hajiji berkata beliau percaya sebarang rundingan mengenai isu 40% hasil Sabah itu akan dibuat berasaskan pada keputusan mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Masidi Manjun berkata kerajaan Sabah akan membawa cadangan berkaitan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan negeri mengutip sendiri sumber hasil tertentu, ke mesyuarat Jemaah Menteri negeri akan datang.