Adam Adli pangku ketua PKR Melaka ganti Shamsul

Adam Adli pangku ketua PKR Melaka ganti Shamsul

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh umum pelantikan Adam Adli itu berkuat kuasa semalam.

Adam Adli Shamsul Iskandar
Pada pemilihan parti, April lalu Adam Adli tewas dalam pemilihan di peringkat PKR Hang Tuah Jaya kepada calon pro Shamsul Iskandar Akin.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua PKR Melaka Adam Adli akan memangku tugas mengetuai parti itu di negeri terbabit yang sebelum ini di bawah bekas setiausaha politik perdana menteri Shamsul Iskandar Akin.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang menjelaskan pelantikan terbabit berkuat kuasa semalam.

“Jawatan Shamsul Iskandar sebagai ketua Cabang Hang Tuah Jaya kekal,” katanya dalam kenyataan.

Pada pemilihan parti, April lalu Adam Adli tewas dalam pemilihan di peringkat PKR Hang Tuah Jaya kepada calon pro Shamsul bagi jawatan timbalan ketua.

Shamsul pada 25 Nov lalu mengumumkan perletakan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar selepas mendakwa ada percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.

Tidak lama selepas itu, Malaysiakini melaporkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, mendakwa beliau telah membelanjakan sebanyak RM629,000 ke atas Shamsul, termasuk bagi kerja ubah suai hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, selain pemberian cerut premium dan sut tempahan khas.

Shamsul yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Dis lalu atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM176,829.

Pada keesokan harinya, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan rasuah melibatkan RM64,924.

Tei turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan memberi rasuah.

Sementara itu, Adam dalam kenyataan berasingan berkata pelantikan itu bersifat bersifat sementara bagi memberi laluan kepada Shamsul menyelesaikan proses perundangan sedang dihadapinya.

Dalam tempoh ini, keutamaan saya adalah untuk memastikan kestabilan dan disiplin organisasi parti terus terpelihara, di samping memperkemas persediaan awal dalam menghadapi PRN akan datang.

“Saya percaya dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan dan akar umbi, parti akan terus bergerak secara tersusun, berdisiplin dan fokus kepada kepentingan rakyat dengan berakarkan prinsip keadilan untuk semua,” katanya.

Shamsul pula berkata beliau menghormati keputusan Biro Politik PKR itu dan akan memberi sokongan penuh kepada Adam.

“Saya akan terus memberi tumpuan memperkukuh cabang serta menyumbang kepada kekuatan PKR Melaka secara keseluruhan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru pimpinan kekal muafakat, matang dan berdisiplin dalam mendepani cabaran politik semasa serta simpang siur serangan bertubi-tubi bertujuan menggugah kepimpinan Presiden Anwar Ibrahim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.