Reformasi Barat ‘diimport’ PH sudah gagal, kata Hadi

Reformasi Barat ‘diimport’ PH sudah gagal, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa reformasi gaya Barat sedang menyebabkan kemerosotan moral dan sosial di Malaysia.

hadi awang
Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberi amaran pejuang reformasi di Malaysia yang mengikut model Barat berisiko ‘tenggelam bersama-sama’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik reformasi ‘diimport dari Barat’ oleh kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), sambil memberi amaran gerakan itu mengheret Malaysia ke arah kemerosotan moral dan sosial.

Hadi berkata, reformasi itu yang bertujuan meningkatkan sistem sosial, politik, ekonomi, dan agama – ‘masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja yang tidak berpandukan hidayah Allah’.

Beliau berkata, agenda pembangunan insan ciptaan Barat bersandarkan ‘jenama menarik’ melahirkan sekularisme dan kandungannya seperti reformasi, progresif, dan liberal.

“Hari ini, tempias kemusnahan sedang berjangkit dalam negara kita. Kalau dahulu, tidak ada orang Melayu Islam yang membunuh diri, tetapi sekarang sudah berlaku.

“Malah, perkara yang lebih ringan daripada itu juga lebih mudah berlaku seperti salah laku dalam satu keluarga dan kegiatan buli di sekolah yang menjadi tempat belajar dan mendidik, apatah lagi salah laku di luar yang lebih parah lagi.

“Lebih-lebih lagi pada zaman media terbuka bagaikan langit tanpa sempadan yang menjadi jalan baharu untuk memasukkan pengaruh asing, sehingga masuk ke dalam setiap bilik di rumah-rumah,” katanya dalam catatan di Facebook.

Hadi turut menyebut Turki di bawah Mustafa Kemal Ataturk sebagai contoh yang membawa reformasi gaya Barat gagal mengembalikan kegemilangan negara itu.

“Namun, usaha-usaha itu masih gagal mengembalikan Turki sehingga maju menjadi kuasa besar semula. Sebaliknya, semakin meleset dan merempat dengan lebih parah kerana mengalami kegagalan reformasi yang melanda negara yang melakukannya, sama ada daripada blok Timur yang melompat ke arah Barat atau blok Barat yang mahu terjun dan menebuk bahteranya.

“Maka, pelopor reformasi di Malaysia yang bergantung dan ada yang terus menjadi penumpang kepada blok Barat akan ikut tenggelam bersama bahteranya.”

Reformasi kekal menjadi elemen utama dalam agenda PH yang dimuatkan dalam manifesto pilihan raya menekankan perubahan institusi yang dikawal selia Parlimen dan langkah-langkah antirasuah.

Perkara ini telah ditegaskan semula pada PRN Sabah pada 29 Nov, di mana PKR hanya menang satu kerusi, selain DAP gagal menawasn sebarang kawasan daripada lapan kerusi ditandingi.

Dalam pada itu, pelbagai NGO seperti Bersih menyuarakan pelaksanaan reformasi dilaungkan tidak konsisten dan perlahan sejak PH menjadi sebahagian kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.