
Ghulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar (GRS-Kawang) berkata, keyakinan itu turut diperkukuh dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap pemberian khas berkenaan, seperti dinyatakan menteri kewangan Sabah ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2026 baru-baru ini.
“Saya juga ingin berkongsi suara tentang harapan dan keyakinan kepimpinan luar biasa (Hajiji) serta hubungan baik beliau dengan Putrajaya, khususnya dengan perdana menteri, memberi keyakinan kepada kita semua bahawa isu hak 40% hasil negeri akan lebih mudah dileraikan.
“Apatah lagi, undang-undang telah memberikan petunjuk jelas sebagai jalan penyelesaian,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 Sabah pada sidang DUN hari ini.
Beliau berkata, hubungan kukuh antara kedua-dua kerajaan telah membentuk sebuah ‘jambatan penghubung’ yang memperkemas koordinasi pentadbiran dan politik seterusnya mempercepat usaha merangka mekanisme penyaluran hak tersebut.
Turut menyuarakan keyakinan sama, Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (GRS-Pantai Manis) yang menegaskan bahawa pemulihan hak 40% itu merupakan keperluan ekonomi penting bagi memastikan Sabah bersaing dalam fasa pembangunan yang semakin pesat.
“Apabila tuntutan ini direalisasikan sepenuhnya, ia akan memberikan impak besar kepada kedudukan fiskal negeri dan seterusnya membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada pembangunan rakyat, infrastruktur dan perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan hak itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri secara signifikan, sekali gus membolehkan Sabah merancang pembangunan jangka panjang secara lebih mampan dan berkesan.
Dalam pada itu, Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) berkata, perjuangan mendapatkan semula hak 40% hasil Sabah tidak boleh lagi dilihat daripada lensa persaingan politik, sebaliknya memerlukan pendekatan bersama yang lebih matang dan bersepadu.
Beliau menegaskan, pentingnya pendekatan bipartisan untuk mempercepat penyelesaian isu berkenaan, memandangkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sependapat bahawa agenda itu mesti diperjuangkan secara kolektif demi kepentingan negeri.
“Apabila melibatkan kepentingan Sabah, lebih-lebih lagi dengan mengambil kira impak besar yang bakal dibawa oleh perolehan 40% ini kepada Sabah, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya kita menghapuskan mentaliti persaingan kepartian,” katanya.
Justin berkata, keputusan PRN serta pola undi popular menunjukkan bahawa pemulihan hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan isu kepartian, sebaliknya tuntutan rakyat Sabah secara keseluruhan.
Sidang DUN Sabah bersambung esok.