
Kamil yang juga setiausaha politik menteri kewangan berkata, tuduhan Mahathir, mengaitkan presiden Bersatu itu dengan jenayah pecah amanah, sangat berat.
“Jika Mahathir berbohong, maka dia telah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
“(Muhyiddin) wajib buat laporan polis untuk bersihkan nama,” kata Kamil menerusi hantaran di platform media sosial X hari ini.
Dilaporkan semalam Muhyiddin menafikan dakwaan bekas perdana menteri itu dalam video yang tular, menjelaskan semua sumbangan kepada parti dimasukkan ke akaun parti yang diurus oleh bendahari agung.
Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, Mahathir mungkin mendapat maklumat tidak benar daripada pihak tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, sebuah klip video berdurasi dua minit yang didakwa menunjukkan Mahathir menuduh Muhyiddin mencuri wang parti tular di media sosial.
Pemuda Bersatu Johor kemudian mendakwa rakaman video pertemuan mereka dengan Mahathir baru‑baru ini ‘dimanipulasi’ pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik pihak tertentu.
“Saya kenal siapa buat itu dan saya akan ambil tindakan undang-undang,” kata Ketua Pemuda Bersatu Johor Alias Rasman, lapor Malaysiakini.