Anwar, Trump bincang konflik Kemboja-Thailand

Anwar, Trump bincang konflik Kemboja-Thailand

Anwar Ibrahim berkata mesyuarat khas menteri-menteri luar Asean akan diadakan dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan hubungan dua hala dan isu global ketika menerima panggilan telefon daripada Presiden AS Donald Trump. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung konflik Kemboja-Thailand.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada Trump, yang turut membangkitkan hubungan dua hala serta isu global menjadi kepentingan bersama.

“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia menggesa kedua-dua negara bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan Asean.

“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras semangat kejiranan baik Asean.”

Sebagai pengerusi Asean, Anwar berkata, Malaysia akan memanggil mesyuarat khas menteri-menteri luar Asean dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.

“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif AS dengan Asean, serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai pengerusi Asean 2025.”

Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lalu, kembali tegang pada Julai dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.

Kedua-dua negara kemudian bersetuju melaksanakan gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai, sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt lalu, iaitu semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47, dengan disaksikan Anwar selaku pengerusi Asean dan Trump.

Tetapi, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini menyebabkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.