Persoalan tak dijawab, kata peguam selepas keluarga hadir di Bukit Aman

Persoalan tak dijawab, kata peguam selepas keluarga hadir di Bukit Aman

Rajesh Nagarajan berkata polis enggan beritahu sama ada kes tembakan di Melaka itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Rajesh Nagarajan
Rajesh Nagarajan berkata ahli keluarga tiga suspek lelaki yang maut ditembak polis itu tidak berpuas hati dengan hasil pertemuan dengan pegawai di Bukit Aman.
KUALA LUMPUR:
Peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati polis Melaka pada 24 Nov lalu mempersoalkan mengapa pihak polis masih tidak menjelaskan sama ada kes itu telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Terdahulu hari ini, ahli keluarga hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan dan menyerahkan telefon bimbit digunakan untuk menghubungi salah seorang suspek semasa kejadian tembakan, yang mengandungi rakaman audio penting sebagai bahan bukti.

Peguam Rajesh Nagarajan, berkata keluarga tiga lelaki itu bertemu dengan Timbalan Pengarah (Pendakwaan/Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Fazley Ab Rahman, yang beri jaminan siasatan akan dijalankan secara telus.

Bagaimanapun, Rajesh berkata keluarga tidak berpuas hati dengan pertemuan itu kerana banyak persoalan tidak dijawab.

“Kami tanya tiga soalan, tetapi beliau tidak dapat berikan jawapan yang lengkap.

“Pertama, adakah kes ini telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh? Tiada jawapan.

“Kedua, apakah tindakan terhadap pegawai yang terlibat? Adakah mereka digantung tugas? Tiada jawapan.

“Ketiga, siapakah anggota pasukan petugas khas? Kami hanya diberitahu apa yang sudah diketahui, iaitu ia diketuai oleh seorang pegawai berpangkat penolong pesuruhjaya kanan. Tiada nama diberi.

“Adakah semua ini rahsia? Kami menuntut untuk mengetahui siapa yang menyiasat dan siapa yang mengetuai siasatan,” katanya.

Polis Melaka sebelum ini menyiasat kes itu sebagai cubaan membunuh selepas Ketua Polis negeri, Dzulkhairi Mukhtar, mendakwa ketiga-tiga lelaki terbabit adalah perompak bersiri yang menyerang seorang anggota polis menggunakan parang.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga mendiang M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata rakaman audio serta bukti forensik menunjukkan mereka dibunuh secara ‘execution-style’.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Dis mengarahkan satu siasatan telus dijalankan terhadap kejadian tembakan itu, dan menegaskan bahawa sebarang aduan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard mesti disiasat secara terbuka.

Mengulas kenyataan perdana menteri itu, Rajesh berkata Anwar sepatutnya mengambil tindakan segera yang lebih tegas, termasuk menggantung pegawai terlibat, menubuhkan pasukan petugas khas, dan suruhanjaya siasatan diraja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.