Umno Kinabatangan bincang calon Sabtu ini

Umno Kinabatangan bincang calon Sabtu ini

Naim Kurniawan Moktar kata Umno Kinabatangan akan memuktamadkan syor calon bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hujung minggu ini.

Naim Kurniawan Moktar disebut-sebut sebagai calon di DUN Lamag atau Parlimen Kinabatangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Umno Kinabatangan akan mengadakan perbincangan Sabtu ini bagi memuktamadkan senarai calon untuk diketengahkan kepada pucuk pimpinan parti, susulan kekosongan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Ketua Pemuda Naim Kurniawan Moktar, yang juga anak kepada penyandang yang meninggal dunia baru-baru ini, Bung Moktar Radin, berkata jentera Umno Kinabatangan bersedia menghadapi pilihan raya.

“Kami akan berbincang Sabtu ini dalam kalangan kepimpinan parti untuk mencadangkan calon kepada presiden (Zahid Hamidi).

“Secara keseluruhan, parti bersedia,” katanya ketika ditanya sama ada beliau sedia mempertahankan kerusi Kinabatangan atau Lamag sekiranya dipilih meneruskan legasi bapanya.

Naim, antara individu paling rapat dan aktif bersama membantu Bung di lapangan, disebut-sebut sebagai calon di salah satu kerusi. Beliau menegaskan keputusan akhir tetap terletak kepada kepimpinan parti.

Bung, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 66 tahun. Beliau mewakili rakyat Lamag sejak 2020 dan Kinabatangan sejak 1999.

PRN lalu menyaksikan Bung yang meraih 3,908 undi diikut rapat seorang calon bebas (3,755), dalam pertandingan enam penjuru yang turut membabitkan Gabungan Rakyat Sabah (1,646), Warisan (372), dan Perikatan Nasional (258).

Pada PRU 2022, Bung mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Dis ini, bagi membincangkan pilihan raya di Lamag dan Kinabatangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.