
Phoong turut menyifatkan surat itu sebagai tidak sah memandangkan beliau tidak pernah menghantar surat kepada Hajiji sejak selepas PRN Sabah, 29 Nov lalu.
“Draf surat bertarikh 5 Dis yang kelihatan seperti dirakam daripada skrin komputer itu tidak mengandungi tandatangani mahupun cop rasmi saya,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Phoong turut mengulangi pendirian parti itu untuk tidak menyertai kerajaan Sabah, selaras dengan kata sepakat dicapai dalam mesyuarat kepimpinan negeri pada 7 Dis lepas.
“DAP Sabah akan terus kembali kepada rakyat, berkhidmat untuk mereka, selangkah demi selangkah demi mengembalikan semula kepercayaan rakyat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial surat didakwa dikirim pejabat Phoong kepada Hajiji, dengan disertakan cadangan pelantikan pengerusi, timbalan pengerusi ataupun ahli lembaga pengarah untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Sabah.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dilaporkan berkata parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk Adun lantikan serta akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat negeri itu.
DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah ke-17 itu. Ini kali pertama sejak 2004, parti itu tiada wakil dalam DUN Sabah.
Lapan kerusi itu ialah Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas.
Parti itu kehilangan enam kerusi yang dimenanginya pada PRN 2020 kepada Warisan, apabila undi masyarakat Cina beralih dengan ketara kepada parti pimpinan Shafie Apdal.