
Memandang serius perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja, Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata Putrajaya menegaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.
“Malaysia mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos serta Perjanjian Damai KL yang dimeterai 26 Okt 2025,” katanya dalam kenyataan.
Dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan komitmen terdahulu, beliau berkata, Malaysia menyeru semua pihak kembali merujuk serta mematuhi Para 7 Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai, yang menyatakan:
“Jika berlaku konflik bersenjata, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, kedua-dua pihak mesti segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelakkan situasi di sepanjang sempadan daripada meruncing.
“Malaysia percaya melalui dialog berterusan, langkah diplomatik konstruktif serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala sedia ada, keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama rantau ini.”
Menurut laporan, Thailand pada Isnin melancarkan serangan udara ke atas Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan dua negara itu.
Dipercayai serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja itu tindak balas terhadap serangan awal pagi yang mengorbankan seorang tentera Thailand dan dua lagi cedera.