Johari percaya MCA terus kekal bersama BN

Johari percaya MCA terus kekal bersama BN

Presiden MCA Wee Ka Siong sebelum ini berkata parti itu kaji semula kedudukannya dalam BN sekiranya Umno kerjasama dengan DAP pada PRU16.

Naib Presiden Umno Johari Ghani berkata hubungan Umno dengan MCA sangat rapat, menjangkau lebih daripada 50 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Johari Ghani memperkecilkan kemungkinan bahawa MCA mungkin meninggalkan Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu masih meneruskan kerjasama dengan DAP pada PRU akan datang.

Beliau berkata setiap parti mempunyai agenda sendiri dan akan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan dalaman masing-masing.

“Setakat hari ini, saya nampak MCA masih kekal bersama BN.

“Kita perlu menerima hakikat bahawa sukar bagi mana-mana negara memiliki parti politik yang berkuasa penuh. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan ialah menyesuaikan diri.

“Namun, hubungan BN dan MCA sangat rapat, lebih daripada 50 tahun,” kata Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi, kepada pemberita selepas melancarkan sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Semalam, Presiden MCA Wee Ka Siong dilaporkan berkata parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN sekiranya Umno, sekutu utamanya, bertegas meneruskan kerjasama dengan parti lain di luar gabungan itu, khususnya DAP.

Pada Julai, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu merancang untuk meneruskan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU16 walaupun terdapat gesaan supaya BN bergerak solo.

Umno, MCA dan MIC ialah anggota pengasas Parti Perikatan sebelum kemerdekaan, yang kemudiannya menjadi BN pada 1973.

MIC juga berada di persimpangan untuk meninggalkan BN dan malah telah menghantar surat pertanyaan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan menyertai gabungan pembangkang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.