Capital A terima pengesahan mahkamah kurang modal RM2.74 bilion

Capital A terima pengesahan mahkamah kurang modal RM2.74 bilion

Dengan ini, semua tindakan bagi fasa akhir susun semula Capital A yang dirancang berjalan lancar, menurut syarikat itu.

Dengan keputusan Mahkamah Tinggi, langkah seterusnya bagi Capital A adalah agih saham AirAsia X Bhd kepada pemegang saham yang layak. (Gambar Air Asia)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa cadangan Capital A Bhd untuk mengurangkan modal saham terbitannya sebanyak RM2.74 bilion membuka laluan kepada rancangan mengagihkan saham AirAsia X Bhd (AAX) kepada pemegang saham Capital A yang layak.

Kumpulan itu berkata, langkah itu adalah antara langkah akhir dalam proses penyusunan semulanya selepas berjaya menyelesaikan beberapa perkara penting baru-baru ini termasuk perjanjian tidak bersyarat dan pengumuman kelayakan dividen bukan tunai.

“Capital A kekal di landasan yang betul untuk menyelesaikan penjualan segmen penerbangan dan bahagian pengedaran pada Disember 2025. Semua tindakan bagi fasa akhir penyusunan semula Capital A yang dirancang berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan.

“Dengan kelulusan ini, langkah seterusnya adalah mengagihkan saham AAX kepada pemegang saham Capital A, mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi Malaya berkaitan modal menurut Pelan Penstrukturan Semula sebanyak RM5.51 bilion dan kemudiannya memohon untuk membatalkan status Nota Amalan 17 (PN17).”

Sebaik sahaja proses ini selesai, semua syarikat penerbangan AirAsia akan beroperasi di bawah platform syarikat penerbangan tunggal manakala Capital A akan memulakan fasa selanjutnya sebagai kumpulan perniagaan berfokus dan tidak terlalu bergantung kepada aset besar, dengan tumpuan kepada lima perniagaan pertumbuhan tinggi, iaitu Asia Digital Engineering, Teleport, AirAsia MOVE, Santan dan AirAsia Next.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.