
Ti berkata agensi penguat kuasa juga mesti diwajibkan memberi perhatian kepada syor majlis dan mengambil tindakan sewajarnya yang menurutnya jika tidak fungsinya hanya sekadar hiasan atau kosmetik.
Bekas timbalan menteri perpaduan dari Mei 2020 hingga Ogos 2021 itu berkata keharmonian kaum semakin terjejas akibat retorik perkauman kebelakangan ini.
Menurutnya, ada ahli politik di kedua-dua blok yang menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan walaupun ia boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
Jelasnya, memberi kuasa kepada majlis untuk bertindak mungkin boleh mengekang perkara sedemikian sebelum merebak.
“Kita tidak boleh tunggu sehingga keadaan tidak terkawal kerana kerosakan yang berlaku mungkin tidak dapat dipulihkan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pelantikan 12 anggota baharu Majlis Penasihat Perpaduan Negara, termasuk tokoh akademik seperti Sharifah Munirah Alatas dan Tajuddin Rasdi serta aktivis seperti Johan Ariffin Samad.
Ti berkata majlis berkenaan perlu bermesyuarat secara tetap dan lebih kerap selain dibenarkan bersidang segera apabila timbul isu mendesak yang mengancam keharmonian kaum, agama atau sosial.
“Perpaduan tidak boleh dipelihara melalui mesyuarat bermusim atau sekadar melepas batuk di tangga,” katanya.
Majlis itu ditubuhkan pada 2020 untuk menasihati kerajaan mengenai isu berkaitan perpaduan nasional yang dianggotai pemimpin masyarakat termasuk wakil NGO, sektor swasta serta individu berpengalaman dan pakar dalam bidang perpaduan. Menurut
Majlis itu bersidang enam kali setahun.
Ti berkata majlis hanya akan benar-benar berwibawa dan berkesan jika diberi kuasa sebenar, kebebasan dan keupayaan bertindak segera.
“Jika tidak ia berisiko menjadi satu lagi institusi simbolik yang tiada kesan pada peringkat akar umbi.”