19 perkara di bawah MA63 dipersetujui setakat ini, kata TPM

19 perkara di bawah MA63 dipersetujui setakat ini, kata TPM

Penyerahan SESB kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Tenaga Sabah antara perkara dipersetujui, kata Fadillah Yusof.

FADILLAH YUSOF
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, beberapa perkara di bawah MA63 masih belum diselesaikan kerana libat perbezaan tafsiran undang-undang.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 19 perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga pengerusi Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 berkata, ini termasuk penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Tenaga Sabah.

“Walaupun diserah kuasa, namun kerajaan persekutuan masih membantu dan menyokong negeri Sabah dengan peruntukan RM3.54 bilion (bagi subsidi elektrik) sehingga 2030,” katanya pada sesi dialog awam sempena majlis penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Fadillah menjelaskan, beberapa perkara masih belum diselesaikan kerana melibatkan perbezaan tafsiran undang-undang, termasuk aspek perlembagaan dan undang-undang negeri yang memerlukan penelitian mendalam.

“Sebab ia persoalan perundangan, pandangan pada peringkat negeri mungkin berbeza dengan pandangan perundangan peringkat persekutuan,” katanya.

“Jadi perkara ini bukan mudah untuk kita selesaikan … inilah beberapa perkara lagi yang belum dapat kita selesaikan tapi kebanyakan perkara sudah pun dapat diselesaikan.”

Sementara itu, Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, Malaysia menjadikan pembangunan Grid Tenaga Asean (APG) sebagai antara tumpuan utama ketika mempengerusikan Asean, iaitu usaha mengukuhkan kerjasama tenaga dan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil, mampan dan berdaya saing di seluruh rantau ini.

Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi mewujudkan rangkaian grid serantau yang membolehkan negara-negara Asean menjalankan pertukaran tenaga rentas sempadan, sekali gus membantu negara yang mengalami kekurangan bekalan pada sesuatu masa.

“Apabila Thailand kekurangan bekalan (tenaga), negara lain boleh bekalkan. Sistem ini memberi fleksibiliti dan meningkatkan keselamatan tenaga di peringkat rantau,” katanya.

Menurutnya, percubaan awal bagi projek itu kini telah berjalan melalui penyambungan grid melibatkan Projek Integrasi Tenaga (PIP) Laos–Thailand–Malaysia–Singapura yang menjadi asas kepada integrasi tenaga Asean pada masa akan datang.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah menghubungkan Pulau Borneo yang mempunyai potensi terbesar tenaga boleh baharu di rantau ini melalui kabel dasar laut ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.

Langkah selepas itu, katanya, adalah menghubungkan tenaga boleh baharu di Pulau Borneo ke Filipina.

Program Rancakkan Madani selama tiga hari bermula Jumaat lepas menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program Rancakkan Madani merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani dan Program Dua Tahun Kerajaan Madani yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.