
Baginda menegaskan apabila semua jentera negeri bersama NGO dan masyarakat bergerak seiring sebagai pasukan harmoni, kekuatan luar biasa yang terhasil mampu mengangkat Perlis menjadi negeri dinamik, teguh dan berdaya saing.
“Baru-baru ini, negeri kita sekali lagi diuji dengan bencana banjir. Namun, di sebalik ujian tersebut, saya melihat keberanian, disiplin dan kesiapsiagaan anggota keselamatan, agensi awam, pihak swasta serta rakyat biasa yang turun membantu tanpa ragu-ragu.
“Ini termasuklah anak watan yang berkhidmat sebagai anggota sukarela Askar Wataniah,” titah baginda selaku komander Rejimen 504 Askar Wataniah ketika berangkat menyempurnakan pelancaran Program Jiwa Murni sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-45 pasukan itu di Gua Kelam.
Program Jiwa Murni tahun ini bukan saja meraikan ulang tahun penubuhan pasukan itu, tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi ketenteraan, agensi keselamatan, kerajaan negeri serta komuniti setempat yang sentiasa menyokong peranan Rejimen 504 Askar Wataniah dalam aspek keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan
masyarakat.
Sebagai simbolik sambutan ulang tahun, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan upacara perasmian serta meninjau kawasan sekitar Gua Kelam yang terkesan banjir baru-baru ini, tetapi sudah dibersihkan dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah, agensi negeri dan persekutuan, sukarelawan serta penduduk setempat.
Pada majlis sama, baginda berkenan menyaksikan simbolik penyerahan bantuan kepada lebih 110 keluarga terjejas banjir baru-baru ini.