
Beliau berkata, pertuduhan akan dihadapinya di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 berkait satu projek usahasama ternakan lembu kerajaan Kedah didakwanya mempunyai unsur ‘pengaruh politik’.
“Saya dimaklumkan oleh pegawai SPRM semalam bahawa ada akan ada dua orang lagi yang akan turut dituduh dengan seksyen yang sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Isnin ini,” katanya dalam video dimuat naik di media sosial.
Azman berkata, pada 25 Mac lalu beliau dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan berhubung projek di bawah Kedah Agro, namun status itu berubah secara mendadak ketika bertemu pegawai penyiasat SPRM semalam.
Katanya, beliau dihubungi pegawai penyiasat SPRM Kedah di Rawat dan Rehat (R&R) Sungai Buloh arah Utara dan seterusnya dibawa ke pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.
“Dan kali ini, (pegawai SPRM memaklumkan) kami akan tukar kepada tuduhan untuk didakwa terhadap saya. Dalam masa sekejap sahaja saya terus daripada sebagai saksi untuk siasatan dan terus didakwa.
“Jadi, saya melihat ini kemungkinan ada unsur-unsur pengaruh politik yang cuba untuk mencemarkan imej saya sebagai Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan saya bersedia untuk menjawab segala tuduhan,” katanya.
Azman juga mendakwa, tindakan dikenakan mungkin berkait ulasan dibuatnya baru-baru ini di TikTok berhubung jawapan perdana menteri dalam Parlimen mengenai isu rasuah.
“Selepas beberapa hari saya pula didakwa. Jadi, saya melihat ini seolah-olah seperti pendakwaan terpilihlah. Yang mana-mana yang dilihat vokal melawan isu rasuah akan dikenakan tindakan dan akan didakwa,” katanya.
Terdahulu, sumber SPRM memaklumkan seorang ahli Parlimen ditahan berkaitan kes melibatkan usahasama ternakan lembu milik kerajaan Kedah.
Sumber berkata, siasatan dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
Ahli Parlimen itu turut dirakam percakapan mengikut Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan dilepaskan dengan jaminan.