
Zahid, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata isu berkenaan wajar dibincangkan memandangkan Felda berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, sekali gus menjadi bidang tanggungjawabnya untuk menangani sebarang permasalahan dihadapi agensi itu.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Yang Berhormat menteri besar Terengganu mengenai perkara itu. Tidak ada isu yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting ialah kepentingan mereka, yang juga rakyat Terengganu, dan rakyat negara kita,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025, di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Felda dan FGV semalam memaklumkan dalam kenyataan bersama bahawa mereka sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran dikeluarkan kerajaan Terengganu ke atas lot ladang milik agensi itu dan anak syarikatnya.
Felda dan FGV menjelaskan proses semakan itu merangkumi sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik serta syarat pembangunan ladang.
Langkah berkenaan susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah atau kesalahan menceroboh dikeluarkan terhadap ladang Felda dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, dan Kemaman pada 30 Nov, 1 Dis, dan 2 Dis.
Felda dan FGV menegaskan notis amaran itu tidak menjejaskan operasi ladang peneroka dan komuniti peneroka di wilayah Terengganu, yang boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.