
Sng berpandangan Parlimen tergantung berkemungkinan berlaku selepas PRU akan datang, dan Anwar perlu mengambil langkah berhati-hati apabila merombak Jemaah Menteri.
“Tiada jaminan akan ada satu lagi kerajaan perpaduan, dan jika ada, kita tidak tahu siapa akan jadi perdana menteri.
“Jika Anwar ingin mengekalkan kawalan, kerajaan ini perlu ambil pendekatan lain dan lantik wakil daripada semua parti kerajaan perpaduan ke dalam Jemaah Menteri, sama seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sebelum ini.
“Hanya mengambil kira kepentingan Pakatan Harapan, Umno, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah bukan formula kemenangan,” kata bekas ketua PKR Sarawak itu di Facebook.
Pada masa ini, Jemaah Menteri Anwar terdiri daripada menteri-menteri dari PKR, DAP, Amanah, Umno, tiga komponen GPS dan seorang dari GRS.
Parti-parti dalam blok kerajaan yang tidak mempunyai wakil dalam Jemaah Menteri termasuk MCA dan MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Warisan dan PBM pimpinan Sng.
Kerajaan perpaduan juga disokong Upko, yang presidennya Ewon Benedick letak jawatan menteri baru-baru ini, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan tujuh Ahli Parlimen bebas.
Terdahulu hari ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Anwar akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri kelak.
Jemaah Menteri kini mempunyai empat kekosongan iaitu portfolio ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam; pembangunan usahawan dan koperasi; dan pelaburan, perdagangan dan industri.
Rombakan ini akan menjadi yang kedua bagi Anwar sejak menjadi perdana menteri pada November 2022.