
Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, menyifatkan keputusan PRN sebagai ‘memalukan’ dan ‘tamparan hebat’ kepada jentera, calon, dan akar umbi.
Pilihan raya pada Sabtu menyaksikan Bersatu tewas di semua DUN ditandingi, manakala PN terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi yang dimenangi oleh calon daripada PAS.
Menurut Yunus, kepimpinan Bersatu gagal menangani pergolakan dalaman sebelum PRN, sehingga menjejaskan keyakinan pengundi.
Katanya lagi, kegagalan PN berpunca daripada kelemahan sokongan kepimpinan pusat, termasuk ketiadaan bantuan dana pilihan raya, kekurangan bahan kempen serta ketiadaan latihan jentera yang memadai.
Tegasnya, keputusan PRN mesej jelas bahawa Bersatu memerlukan pembaharuan menyeluruh, lapor laman Sabah News.
“Bersatu Sabah berpendirian tegas bahawa parti memerlukan ‘reset’ yang besar. Gerakan pembaharuan mesti bermula dari pimpinan tertinggi. Parti memerlukan wajah baharu dan kepimpinan yang lebih responsif serta memahami keperluan politik di Sabah.
“Kami menyeru agar Muhyiddin melepaskan jawatan presiden Bersatu dan pengerusi PN. Ini bukan soal personal. Ini soal masa depan parti. Kami sayangkan parti ini,” katanya.
FMT sedang mendapatkan reaksi ketua Bersatu Sabah dan PN Sabah, Ronald Kiandee.
Muhyiddin sebelum ini berdepan rasa tidak puas hati dalam Bersatu serta gesaan berundur menjelang PRU16 bagi memberi laluan kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, kira-kira seminggu sebelum hari pengundian PRN Sabah, Ahli Parlimen Bersatu menghadiri mesyuarat tertutup dengan Muhyiddin dan menegaskan sokongan kepada Muhyiddin, termasuk Hamzah.
Pemimpin PAS juga pernah menyeru agar ia yang menerajui PN pada PRU16.