
Timbalan Ketua Menteri II Masidi Manjun berkata beliau mempunyai tempoh 10 hari untuk memuktamadkan intipati Belanjawan Sabah 2026.
Masidi, yang juga menteri kewangan Sabah berkata proses penyediaan menjadi lebih mudah walaupun tempoh untuk membuat penambahbaikan agak terhad, berkat kerajinan dan dedikasi pegawai Kementerian Kewangan Sabah yang melakukan persiapan lebih awal sebelum pembubaran DUN.
“Insya-Allah, kita bersedia untuk membentangkan belanjawan pada 12 Dis ini. Tumpuan belanjawan negeri kali ini lebih kepada usaha untuk meneruskan momentum pembangunan prasarana dan kebajikan rakyat.
“Kita fikir ada keperluan untuk meneruskannya agar impak lebih dapat dirasai sekali gus berupaya mengubah kehidupan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu.
Masidi berkata situasi ekonomi global yang semakin mencabar susulan penurunan harga komoditi termasuk minyak mentah dijangka memberi kesan ke atas penyediaan belanjawan.
Beliau berkata harga minyak di pasaran antarabangsa kini menunjukkan trend menurun berbanding anggaran awal ketika perancangan belanjawan negeri itu dibuat.
“Bagaimanapun, kita mengharapkan ini tidak akan memberi impak terlalu besar kepada usaha kita untuk meneruskan momentum pembangunan, apatah lagi peruntukan disediakan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.