
Romzi Ationg dan Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat, tempoh enam bulan terlalu singkat untuk melaksanakan perubahan besar dan memulihkan keyakinan rakyat terutama pengundi Cina.
Mengambil konteks pengundi di Sabah, Romzi berkata DAP perlu menampilkan tindakan nyata terutama berkaitan autonomi supaya parti itu dilihat memahami politik tempatan selain menampilkan idea pembangunan serta dasar yang inklusif.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada DAP supaya berhati-hati mengumumkan keghairahan untuk melaksanakan reformasi dengan segera kerana jika gagal boleh membuka ruang kritikan termasuk kepada Pakatan Harapan (PH).
“Ia membuka ruang lawan menuduh kerajaan tidak konsisten dan mencetuskan tekanan dalaman terhadap kepimpinan gabungan itu,” katanya kepada FMT.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata parti itu akan mengumpul semua maklum balas dan mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.
DAP kalah semua lapan kerusi ditandinginya pada PRN Sabah ke-17 yang turut menyaksikan parti itu tiada wakil dalam DUN Sabah buat kali pertama sejak 2004.
Lapan kerusi itu ialah Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas.
DAP kehilangan enam kerusi dimenanginya pada PRN 2020 kepada Warisan, apabila undi masyarakat Cina beralih dengan ketara kepada parti pimpinan Shafie Apdal.
Bilcher pula berpendapat, tempoh enam bulan mungkin hanya sebagai ruang untuk menunjukkan tanda awal reformasi, tetapi tidak cukup ‘membalikkan arus’ sokongan yang sudah beralih dengan ketara kepada parti tempatan.
Beliau turut menyifatkan reformasi dalam tempoh enam bulan sekadar retorik politik untuk menutup kegagalan DAP dan PH di Sabah.
“Tanpa langkah konkrit menyentuh isu Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963, hasil minyak dan pembangunan luar bandar, janji itu akan dianggap gula-gula politik.
“Tidak berakar pada realiti politik,” katanya.