Guru disiplin akui wujud budaya ‘ragging’ di sekolah Zara

Guru disiplin akui wujud budaya ‘ragging’ di sekolah Zara

Bagaimanapun, Muliati Alihuddin berkata kes ragging selalunya babitkan pelajar lelaki dan tak pernah terima laporan daripada pelajar perempuan.

Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Seorang guru disiplin mengaku di Mahkamah Koroner bahawa memang wujud budaya ‘ragging’ dalam kalangan pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.

Pengakuan itu dibuat oleh saksi ke-56, iaitu setiausaha unit disiplin sekolah, Muliati Alihuddin, 42, ketika disoal Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.

Amir: Secara umum, cikgu, bagaimana tahap disiplin pelajar di sekolah itu sejak kamu menjadi guru disiplin?

Muliati: Selalunya, kes yang dilaporkan berkaitan telefon bimbit kerana ia barang larangan. Kami pernah menjalankan pemeriksaan mengejut di asrama. Selain itu, masalah disiplin lain termasuk pelajar tidak menunaikan solat subuh, penampilan diri seperti memakai tudung pendek, dan tiada lencana.

Koroner Amir Shah: Apakah kes paling serius yang pernah berlaku di sekolah itu?

Muliati: Paling serius ialah kes Zara Qairina. Kami tidak menghadapi kes jenayah sebelum ini.

Amir: Adakah berlaku kes ragging antara pelajar senior dan junior?

Muliati: Ya. Kes ragging selalunya membabitkan pelajar lelaki. Kami tidak pernah menerima laporan daripada pelajar perempuan mengenai ragging. Ia biasanya melibatkan tugasan ringan seperti mengambilkan air atau menggosok baju.

Amir: Tadi, cikgu menyebutkan banyak program untuk mendisiplinkan pelajar. Adakah hukuman rotan masih dilaksanakan?

Muliati: Sebelum ini ada, tetapi sekarang tiada lagi. Hanya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) yang dibenarkan merotan.

Amir: Secara umum, patutkah hukuman rotan dilaksanakan?

Muliati: Saya rasa patut. Biar ada penurunan kuasa, biar kita cuba merotan … cara lembut tidak berkesan … dulu tak menjadi kes.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.