2 warga asing seludup ketamin, kokain RM2.5 juta

2 warga asing seludup ketamin, kokain RM2.5 juta

Tangkapan berasingan pada hari sama libat rampasan 2.70kg ketamin dan 12kg kokain.

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad, berkata ketamin disembunyi dalam kotak berlabel teh Cina, manakala kokain disimpan dalam patung ‘soft toy’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua warga asing dicekup kerana disyaki membawa masuk dadah bernilai lebih RM2.5 juta, dalam rampasan
di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melibatkan dua kes berasingan pada 19 Nov.

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad, berkata dua individu masing-masing warga China dan Thailand ditahan hasil tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA bersama anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas imbasan bagasi menunjukkan imej mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bagasi milik warga China menjumpai beberapa bungkusan kecil berwarna kuning yang mengandungi serbuk disyaki ketamin, diletakkan dalam tin dan kotak berwarna merah berlabel ‘Refined Chinese Tea’.

“Bagasi milik warga Thailand pula mengandungi kapsul berisi serbuk disyaki kokain, disembunyikan dalam patung ‘soft toy’,” katanya menurut Bernama.

Anggaran berat kasar ketamin adalah 2.70kg dengan nilai melebihi RM135,000, manakala kokain dianggarkan 12kg dengan nilai melebihi RM2.4 juta. Kedua-dua dadah disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes masih disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama. Sekiranya sabit kesalahan, pelaku berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup, selain sekurang-kurangnya 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.