Warisan nafi beli, pujuk Adun bentuk pakatan kerajaan

Warisan nafi beli, pujuk Adun bentuk pakatan kerajaan

Shafie Apdal berkata Warisan berpandangan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.

Shafie Apdal mengetuai Warisan memenangi 25 kerusi pada PRN Sabah, Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Warisan Shafie Apdal menafikan dakwaan parti tu berusaha membeli atau memujuk Adun bagi menumbangkan pentadbiran Hajiji Noor yang baharu berusia tiga hari.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata komitmen parti itu sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.

“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran Sabah.

“Kami akan terus melaksanakan peranan telah diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, FMT memetik sumber dalaman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melaporkan wujud usaha daripada Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS Plus, antaranya dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) serta lima Adun bebas.

BN menang enam kerusi iaitu di Lamag, Kunak, Liawan, Sukau, Sook dan Bengkoka manakala calon bebas menawan Pintasan, Kukusan, Petagas, Bandau serta Tulid.

Sumber itu memberitahu BN diterima menjadi sebahagian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus untuk mengelakkan pentadbiran Hajiji tumbang, beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Menteri I Dr Joachim Gunsalam mengumumkan BN dan Pakatan Harapan (PH) sebahagian kerajaan Sabah bawah pentadbiran Hajiji.

Adun Melalap Jamawi Jaafar dari PH dan Adun Sukau Jafry Ariffin dari BN antara 10 menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman.

Pada PRN Sabah Sabtu lalu, GRS menang 29 kerusi yang kemudiannya disokong tiga wakil rakyat Upko, lima bebas, masing-masing seorang wakil rakyat PH serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Blok pembangkang bakal diwakili Warisan yang menang 25 kerusi diikuti Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dengan dua kerusi dan satu Perikatan Nasional (PN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.