Siasatan kehilangan Pastor Koh tak dilakukan dengan betul, putus mahkamah

Siasatan kehilangan Pastor Koh tak dilakukan dengan betul, putus mahkamah

Menurut hakim Mahkamah Tinggi, pegawai polis terlibat tak endah kewajipan statutori di bawah undang-undang.

Pastor Raymond Koh
Pastor Raymond Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Siasatan polis berhubung penculikan Pastor Raymond Koh tidak pernah dijalankan secara bermakna sepanjang lapan tahun lalu, menurut Mahkamah Tinggi.

Dalam penghakiman penuhnya, Hakim Su Tiang Joo menyatakan, pegawai-pegawai polis yang terlibat tidak mengendahkan kewajipan statutori di bawah undang-undang untuk melindungi nyawa dan keselamatan awam, serta untuk mencegah dan mengesan jenayah.

Beliau menekankan, dalam kes Koh, isterinya, Susanna Liew, berdepan kesukaran berurusan dengan polis sejak dari awal.

Menurut mahkamah, Liew, pegawai polis Ali Asra Abu Bakar dan pegawai penyiasat Supari Muhammad memberi keterangan bahawa soalan-soalan yang diajukan kepadanya tertumpu kepada kegiatan dakwah, yang mana didakwa Koh terlibat, bukan soalan yang bertujuan mengenal pasti petunjuk.

Tambahnya, kehadiran Toyota Vios milik individu bernama Saiful Bahri Abdul Aziz (yang dilihat di tempat kejadian) tidak pernah disiasat sebagai petunjuk sehingga ia didedahkan semasa inkuiri Suhakam pada 2017.

“Mahkamah mengambil kira kelakuan (polis) selepas penculikan, (iaitu) penyembunyian maklumat, salah hala tuju siasatan, dan kegagalan menyiasat petunjuk yang jelas,” katanya.

“Peninggalan ini bukan neutral. Sebaliknya, ia mencadangkan penglibatan individu yang sama ada memiliki pengetahuan langsung atau mempunyai sebab untuk melindungi mereka yang bertanggungjawab.”

Menurut hakim lagi, seorang lelaki, Lam Chang Nam, kemudiannya didakwa atas kesalahan ‘menculik’ Koh semasa siasatan masih berjalan. Tuduhan kemudiannya ditarik balik.

“Walaupun kuasa mendakwa terletak pada pendakwa raya (peguam negara), peranan operasi polis dalam mengemukakan keterangan tidak boleh diabaikan,” tambahnya.

“Masa tuduhan dibuat dan ditarik balik seterusnya menunjukkan bahawa ia (kes Lam) digunakan untuk mencapai objektif tersembunyi, iaitu untuk mengganggu siasatan.”

Bulan lepas, mahkamah memutuskan memihak kepada Liew dan mengarahkan kerajaan serta polis membayar lebih RM37 juta kepada keluarga Koh atas penglibatan kerajaan dalam penculikannya.

Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar RM33 juta atas ‘perbuatan salah’ terhadap Koh.

Bagaimanapun, dana tersebut mesti disimpan dalam dana amanah dan tidak boleh diserahkan terus kepada Liew dan tiga anaknya.

Tambahan RM4 juta ganti rugi am dan teruk turut dianugerahkan kepada Liew.

Penglibatan kerajaan

Su berkata, laporan pasukan petugas khas yang sulit mengukuhkan fakta bahawa kehilangan Koh mempunyai persamaan dengan kehilangan aktivis Amri Che Mat.

“Kedua-dua (pengerusi) Abd Rahim Uda dan (ahli) Zamri Yahya memberi keterangan bahawa mereka menganggap kemungkinan besar kehilangan Amri dan Koh melibatkan unit operasi yang sama.

“Konsistensi antara dapatan Suhakam dan pasukan petugas khas menyokong kes plaintif bahawa unit Cawangan Khas telah merancang atau memudah cara operasi tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, mahkamah akan mendengar permohonan Liew untuk melantik pemegang amanah bagi menguruskan jumlah penghakiman sebanyak RM33 juta, atau RM10,000 sehari, sejak kehilangan Koh.

Liew mencadangkan untuk melantik peguam caranya bagi memegang jumlah penghakiman itu sebagai amanah atau melantik sama ada PB Trustee Services Bhd atau Amanah Raya Bhd sebagai pemegang amanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.