PRN Sabah: Kekalahan DAP krisis keyakinan serius, kata Loke

PRN Sabah: Kekalahan DAP krisis keyakinan serius, kata Loke

Setiausaha agung DAP berkata parti itu akan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Anwar Ibrahim mempercepatkan agenda reformasi dalam enam bulan.

Anthony Loke Siew Fook
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pemimpin dan ahli amat peka terdapat ketidakpuasan meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen PRN Sabah.
PETALING JAYA:
Kekalahan menyeluruh DAP dalam PRN Sabah ke-17 mencerminkan krisis keyakinan serius terhadap parti itu dan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, parti itu akan mengumpul semua maklum balas dan bersama Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan.

“Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada pengundi. Tidak dapat dinafikan pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan PH.

“Para pemimpin dan anggota terlibat dalam kempen amat peka terdapat ketidakpuasan meluas dalam kalangan rakyat sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi.

Beliau berkata, DAP Sabah juga tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk Adun lantikan.

Menurutnya, pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat negeri itu dan berusaha mengembalikan keyakinan mereka.

DAP kalah semua lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN Sabah ke-17 Sabtu lalu. Ini juga kali pertama sejak 2004, parti itu tiada wakil dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Lapan kerusi itu ialah Luyang, Kapayan, Tanjung Papat, Tanjung Aru, Kemabong, Elopura, Sri Tanjong dan Likas.

Parti itu kehilangan enam kerusi yang dimenanginya pada PRN 2020 kepada Warisan, apabila undi masyarakat Cina beralih dengan ketara kepada parti pimpinan Shafie Apdal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.