
Beliau yang juga menteri kewangan berkata lazimnya perbelanjaan tambahan membawa kepada cukai baharu, namun kerajaan mengambil pendekatan lebih berhati-hati seperti memperbaiki tatakelola, menyasarkan subsidi dan memperkukuh pematuhan cukai.
“Kerajaan negeri disaran meneladani Belanjawan 2026 serta berhati-hati dalam memutus sebarang keputusan supaya tidak membebankan rakyat.
“Tidak wajar dinaikkan umpamanya cukai tanah dengan kadar terlalu tinggi, seperti cadangan satu dua kerajaan negeri semasa Majlis Tanah Negara tempoh hari,” katanya membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Jelas Anwar, pemerkasaan aktiviti penguatkuasaan yang lebih giat dijalankan telah berjaya membanteras rasuah, mengekang penyeludupan serta memecah tembok kartel.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memperoleh hasil rampasan dan kutipan penalti RM15.5 bilion,” katanya.
Berhubung penyasaran subsidi petrol RON95, Anwar berkata kerajaan menolak cadangan Bank Dunia supaya harga bahan api itu diapungkan mengikut harga pasaran, dengan bantuan tunai hanya kepada kumpulan tertentu.
Pendekatan itu, katanya, mungkin menepati teori ekonomi tetapi mengabaikan realiti hidup jutaan rakyat dan bakal meningkatkan inflasi.
“Kerajaan tetap komited kepada penyasaran subsidi bagi memastikan rakyat terbanyak terus dibantu, sambil mengelakkan ketirisan kepada warga asing dan kegunaan komersial,” katanya merujuk kepada program Budi Madani RON95.
Dalam ucapannya, Anwar turut mempertahankan keputusan kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.5% pada 2026, berbanding 3.8% tahun ini, meskipun ada pihak menggesa pengurangan lebih agresif.
Menurutnya, langkah terlalu drastik berisiko menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membiayai projek pembangunan asas, terutama ketika ekonomi global dijangka tidak menentu pada 2026.
“Kerajaan memilih pendekatan berperingkat bagi memastikan peruntukan pembangunan mencukupi dan pertumbuhan ekonomi terus disokong,” katanya.