Walaupun tembusi bandar, Warisan berdepan laluan sukar, kata penganalisis

Walaupun tembusi bandar, Warisan berdepan laluan sukar, kata penganalisis

Sokongan kaum Cina terhadap Warisan mungkin tidak kekal dan ia dilihat bergelut untuk mencapai kemajuan di kerusi majoriti Kadazandusun Murut.

Penyokong Warisan di kerusi bandar dalam suasana ceria pada perhimpunan pilihan raya di Likas yang dihadiri ketua parti Shafie Apdal dan calon Likas Tham Yun Fook (tengah) pada Jumaat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warisan berdepan laluan sukar untuk terus memperluas pengaruhnya walaupun menunjukkan prestasi pilihan raya yang mengagumkan di Sabah dan meraih kemajuan besar di kawasan bandar, menurut penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata Warisan secara konsisten berada dalam kelompok blok terbesar di Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pertama kali bertanding pada PRU 2018.

Pada Sabtu, parti itu memenangi 25 kerusi — jumlah kedua tertinggi di DUN Sabah — dengan sokongan meningkat daripada pengundi Cina yang beralih daripada DAP dan PKR.

Bagaimanapun, Chin berkata ramai pengundi Cina yang meninggalkan DAP memilih Warisan kerana berharap parti itu mampu membentuk kerajaan negeri.

Beliau turut berkata Warisan sebenarnya tidak mencapai prestasi sebaik yang diharapkan dengan 25 kerusi itu, kerana ia hanya dua kerusi lebih banyak berbanding 23 yang dimenangi pada 2020.

Katanya, Warisan kini berdepan cabaran lebih sukar kerana telah lama berada di luar kerajaan Sabah dan tidak mempunyai akses kepada sumber negeri. “Melainkan mereka menggandakan usaha atau mencari jalan untuk kembali ke dalam kerajaan, ia akan jadi tempoh sukar untuk beberapa tahun akan datang,” katanya kepada FMT.

Warisan mengakhiri pilihan raya dengan empat kerusi di belakang Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menjadikan DUN tergantung.

Parti itu gagal mencatat kemajuan ketara di kerusi majoriti Kadazandusun Murut, dengan parti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal kukuh dan Upko pula berjaya menambah jumlah kerusinya.

Warisan juga tewas di beberapa kerusi penting seperti Kunak, Petagas, Banggi dan Moyog.

Namun begitu, Warisan mencapai kejayaan besar di kawasan bandar, majoriti Cina dan kerusi campuran, dengan memainkan peranan utama menyingkirkan DAP daripada DUN Sabah apabila merampas Luyang, Likas, Sri Tanjong, Tanjong Papat, Elopura dan Kapayan.

Parti itu turut mengekalkan Tanjung Aru dengan selesa serta berjaya merampas Api-Api dan Inanam, dua kubu kuat PKR.

Namun penganalisis Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata lonjakan sokongan pengundi Cina itu mungkin tidak berkekalan kerana ia lebih berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap PH, dan bukannya kesetiaan kepada Warisan.

Sokongan pengundi Cina dalam pilihan raya persekutuan nanti juga dijangka tidak mengikut pola yang sama kerana pertaruhan berbeza. “Mereka akan menyokong PH di peringkat Parlimen,” katanya.

Sebelum PRN, badan pemikir Ilham Centre telah memberi amaran mengenai perubahan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar, merujuk kepada pendedahan lebih luas kepada media sosial dan sentimen penolakan terhadap pengaruh parti dari Semenanjung.

Ilham Centre berkata terdapat suasana ‘protes’ dan kekecewaan yang ketara sepanjang kempen PH di kawasan bandar, dengan rungutan masyarakat banyak berkisar pada isu ekonomi, tadbir urus dan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.