9 pekerja selenggara tangki keracunan gas

9 pekerja selenggara tangki keracunan gas

Enam mangsa masih dirawat di Hospital Dungun, manakala tiga lagi dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar.

Enam pekerja mengalami keracunan gas dan gangguan pernafasan ketika membersihkan tangki ‘continuous reactor’ di sebuah kilang di Kerteh Biopolymer Park. (Gambar Kerteh Biopolymer Park)
PETALING JAYA:
Sembilan pekerja kontrak dipercayai keracunan gas bertoksik ketika menyelenggara tangki di sebuah kilang di Kerteh Biopolymer Park (KBP) dekat Kemaman, semalam.

Semua mangsa berusia 23 hingga 40 tahun itu dibawa ke Klinik Kesihatan Paka, sebelum ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Rohaya Jamil, berkata dalam kejadian kira-kira 6.45 petang, enam pekerja sedang membersihkan tangki “continuous reactor” di kilang, sebelum mengalami keracunan gas dan gangguan pernafasan.

“Semua mangsa dikeluarkan pekerja lain sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Paka oleh pihak pengurusan, manakala tiga lagi ke klinik sama sendiri,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, tujuh pegawai kanan dan 11 anggota bomba dari Balai Bomba Kerteh serta Kemaman bersama pasukan Hazmat melakukan “water suppression” dan memasang lapisan “water curtain” di tempat kejadian.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya kira-kira 1.05 pagi tadi selepas tiada gas dikesan.

Enam mangsa masih di Hospital Dungun untuk rawatan lanjut, manakala tiga lagi dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.