Tunggu ‘lampu hijau’ PM, kata Nga berkait bacaan kedua RUU PSB

Tunggu ‘lampu hijau’ PM, kata Nga berkait bacaan kedua RUU PSB

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata pihaknya bersedia sepenuhnya namun keputusan akhir tertakluk kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata RUU PSB telah melalui sebanyak 128 sesi libat urus melibatkan lebih 6,500 orang merangkumi wakil penduduk, badan-badan profesional, NGO serta ahli-ahli akademik.
KUALA LUMPUR:
Pembentangan semula bacaan kedua Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Dewan Rakyat akan ditentukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Nga berkata, kementeriannya telah bersedia untuk meneruskan bacaan kedua RUU itu yang ditangguhkan sebelum ini namun keputusan akhir bagi menetapkan masa yang sesuai akan dibuat perdana menteri.

“Ini tertakluk kepada keputusan perdana menteri untuk mencari masa yang paling sesuai dengan jadual ketat sidang Dewan Rakyat pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Perdana Pembaharuan Semula Bandar di Pusat Konvensyen MPAJ.

Terdahulu, Nga dalam ucapannya berkata sebanyak 128 sesi libat urus diadakan sejak proses menggubal RUU tersebut bermula pada awal 2024.

Katanya, sesi libat urus itu melibatkan lebih 6,500 orang merangkumi wakil penduduk, badan-badan profesional, NGO serta ahli-ahli akademik.

RUU PSB antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur dan daif dapat dibangunkan semula secara terancang demi kesejahteraan penduduk dan pembangunan bandar mampan.

Bacaan pertama RUU itu dibuat pada Sidang Dewan Rakyat 21 Ogos lalu namun bacaan kedua serta pengundiannya ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan maklum balas tambahan diperhalusi.

Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan bila RUU itu akan dibentangkan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.