
Badan anti-rasuah itu berkata Mahajoth Singh mempunyai bahan bukti yang relevan dengan siasatan, dan peguam itu mempunyai kewajipan undang-undang untuk mengemukakannya apabila dikehendaki bawah Akta SPRM.

“Notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM, yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana orang hadir serta mengemukakan dokumen atau rakaman yang diperlukan bagi membantu siasatan.
“Tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pengamal undang-undang, dan dakwaan sebaliknya adalah tidak berasas dari sudut undang-undang.
“Keingkaran berbuat demikian boleh dianggap sebagai menghalang penjawat awam menjalankan siasatan, iaitu satu kesalahan di sisi undang-undang,” menurut kenyataan.
SPRM mengulas kebimbangan LFL berhubung komunikasi sulit peguam–anak guam, mengatakan keistimewaan itu tidak mengecualikan peguam daripada hadir di hadapan pegawai penyiasat, dan tidak melindungi bahan atau dokumen yang tidak berkaitan dengan nasihat undang-undang.
Ia menambah keistimewaan itu juga tidak menghalang siasatan jika peguam tersebut merupakan saksi material.
“Oleh itu, dakwaan intimidasi adalah tidak berasas. Notis tersebut merupakan proses statutori biasa dan sama sekali tidak menjejaskan kemampuan peguam untuk mewakili anak guamnya.
“Memanggil individu yang mempunyai maklumat relevan adalah prosedur siasatan standard.
“Memutarbelitkan prosedur sah sebagai “tindakan tanpa undang-undang” adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang awam,” katanya.
Semalam, Tei dan Shamsul Iskandar Akin, bekas setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, direman selama enam hari bagi membantu siasatan rasuah.
Mereka ditahan pada Jumaat selepas Tei mendakwa beliau merasuah Shamsul untuk mendapatkan semula dana yang didakwa diagihkan kepada Adun Sabah.
Tei, ahli perniagaan kontroversi yang menjadi tumpuan skandal perlombongan Sabah yang didakwa, sedang menghadapi perbicaraan atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam kes berasingan.
Seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang turut disiasat oleh SPRM berkaitan dengan dakwaan Tei, ditahan pada malam Khamis dan bawah tahanan reman sehingga esok.
Terdahulu hari ini, LFL berkata Mahajoth dipanggil SPRM untuk disoal siasat, menyifatkan tindakan itu sebagai luar biasa, dan memanggil peguam untuk disiasat dengan cara yang menceroboh komunikasi sulit peguam-anak guam adalah pelanggaran serius.