Kerajaan hormat tuntutan rakyat Sabah mahukan perubahan, kata Anwar

Kerajaan hormat tuntutan rakyat Sabah mahukan perubahan, kata Anwar

Perdana menteri berkata negeri itu telah berdepan ketidakadilan dan pengabaian selama bertahun-tahun oleh hampir semua parti politik.

Anwar Ibrahim sabah
Perdana menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghormati mesej ‘tegas dan jelas’ disampaikan rakyat Sabah pada pilihan raya semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana menteri Anwar Ibrahim mengakui rakyat Sabah mahu melihat perubahan selepas negeri Malaysia Timur diabaikan oleh parti-parti politik sejak sekian lama.

Anwar berkata kerajaan pimpinannya menghormati mesej ‘tegas dan jelas’ disampaikan rakyat Sabah pada pilihan raya semalam, ketika gabungan persekutuan seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan besar.

“Dalam tiga tahun lalu, kami berusaha merungkai setiap isu diwarisi, termasuk soal tuntutan dan hak menyentuh kepentingan Sabah.

“Dalam tempoh singkat ini, beberapa kemajuan yang nyata telah dicapai berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya di Facebook.

Jelasnya, kerajaan Madani juga akan terus konsisten di jalur pembaharuan itu sebagai usaha dan upaya kita melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.

“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” katanya.

PH hanya memenangi satu daripada 22 kerusi ditandingi pada pilihan raya Sabah, manakala hanya enam daripada 45 calon BN berjaya dipilih.

DAP pula tewas sepenuhnya, menjadikannya kali pertama parti itu tidak mempunyai wakil dalam DUN Sabah, manakala PKR kehilangan dua kerusi tradisinya — Api-Api dan Inanam.

Satu-satunya Adun PKR Jamawi Jaafar sebelum ini berasal dari Parti Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji. Beliau menang DUN Melalap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.