
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata proses itu mungkin mampu mengurangkan kesan persepsi ‘parti luar’ serta dikaitkan pemerintahan dahulu yang menjadi antara punca kemerosotan teruk prestasinya.
“Tetapi, aspek paling penting pengundi mahu melihat hasil, bukan hanya siapa calon diketengahkan,” katanya kepada FMT.
PRN Sabah semalam menyaksikan BN hanya menang enam daripada 45 kerusi ditandingi, prestasi terburuknya sepanjang melebarkan sayap ke negeri itu pada 1991.
Parti itu hanya menang di Lamag, Bengkoka, Sukau, Sook, Liawan dan Kunak.
Beberapa tokohnya turut tewas, antaranya bekas ketua menteri Sabah Salleh Said Keruak.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata keputusan itu menunjukkan BN semakin hilang pengaruh tradisinya, khususnya di kawasan pedalaman dan Pantai Timur.
Menurutnya, dominan BN kini tercabar apabila berdepan perebutan sokongan dengan parti tempatan terutama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang telah berkembang dan dikenali rakyat.
Penganalisis dari Global Asia Consulting itu berkata langkah segera perlu diambil iaitu melakukan penjenamaan semula dengan mengetengahkan generasi muda dalam barisan kepimpinan.
“Gunakan media sosial dan naratif segar untuk tarik belia bandar dan separa bandar,” katanya yang turut mencadangkan Umno mencari slogan baharu untuk Sabah.
Jelasnya, Umno juga memerlukan autonomi lebih besar daripada pusat.
“Pengundi Sabah menolak parti yang dilihat dikawal dari Kuala Lumpur kerana kuasa autonomi membolehkan Umno Sabah tentukan calon, strategi dan naratif sendiri,” katanya.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata keputusan itu jelas memposisikan BN sebagai minoriti dan ia menyukarkan usaha mobilisasi mereka dalam konteks politik Sabah.
“Ada keperluan untuk merombak semula BN Sabah kerana parti itu tidak mencatatkan prestasi baik.
“BN juga perlu memaparkan hala tuju jelas,” tegasnya.