
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, dan rakan sejawatnya daripada Barisan Nasional, Bung Moktar Radin, dikatakan memperoleh kemenangan selesa masing-masing di Sulaman dan Lamag.
Begitu juga Presiden Upko, Ewon Benedick dijangka mempertahankan kerusi Kadamaian.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, mengekalkan kerusi Tambunan, walaupun partinya bertanding solo selepas menarik diri daripada GRS bulan lalu.
Bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia, yang juga presiden Usno, gagal memenangi kerusi Pintasan bagi GRS selepas percubaan keduanya bertanding di DUN tersebut. Pada 2020, beliau kalah kepada Fairuz Renddan, daripada Bersatu ketika itu.
Isteri Pandikar, Diana Diego @ Yusrina Sufiana, turut kalah di Sekong kepada lawannya daripada BN.
Bekas ketua menteri Sabah daripada BN Salleh Said Keruak kalah di Usukan.
Turut mengalamai nasib sama, bekas menteri luar, Anifah Aman yang juga presiden Parti Cinta Sabah kalah di Bongawan dalam percubaan keduanya. Beliau tewas kepada Mohamad Alamin daripada BN, yang kini timbalan menteri luar dan Ahli Parlimen Kimanis.
DAP mencatatkan kekalahan paling besar apabila lapan calon, kebanyakannya tunduk kepada Warisan.
Ini termasuk Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, dan Timbalan, Chan Foong Hin, masing-masing di Likas dan Tanjung Aru.
Phoong sebelum ini adalah menteri negeri manakala Chan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dua penggal serta timbalan menteri perladangan dan komoditi.
Turut tewas Ahli Parlimen Sandakan dua penggal daripada DAP, Vivian Wong di Elopura dan bekas Adun Kapayan dua penggal, Jannie Lasimbang, yang gagal mempertahankan kerusi itu bagi penggal ketiga.