
Ketua Polis Bera, Zulkiflee Nazir, berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan IPD Bera pada 2:15 petang.
Menurutnya, serbuan itu membawa kepada penahanan enam lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 28 dan 39 tahun disyaki operator pusat panggilan sindiket terbabit.
“Pusat operasi ini dipercayai wujud sejak Oktober lalu.
“Selain itu, polis turut merampas dua komputer riba dan 19 telefon bimbit dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Zulkiflee berkata siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram bagi mendapatkan maklumat mangsa di China.
Katanya, mereka kemudiannya memperdayakan mangsa melalui skim pelaburan palsu.
“Kumpulan itu menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai kewangan, penasihat pelaburan atau wakil institusi tertentu untuk memperdayakan mangsa.
“Polis percaya ramai mangsa terpedaya terhadap kerana modus operandi sindiket itu kerana mereka sentiasa mengubah taktik bagi mengelak dikesan,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan berisiko tinggi, khususnya yang membabitkan urusan dalam talian.
Katanya, semua suspek direman hingga 1 Disember dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan menipu.