Saifuddin bidas kenyataan bekas menteri ‘sudah lepas zaman’ berkait MA63

Saifuddin bidas kenyataan bekas menteri ‘sudah lepas zaman’ berkait MA63

Menteri dalam negeri berkata tidak perlu membuat kenyataan yang akan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ‘banyak kemajuan’ telah dicapai dalam memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963.
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membidas seorang bekas menteri berhubung kenyataannya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sambil berkata tidak ada sebab untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Saifuddin berkata kenyataan bekas menteri itu tidak perlu dibuat kerana kerajaan persekutuan sedang memberi tumpuan kepada usaha memenuhi tuntutan di bawah MA63.

“Ini pemimpin yang sudah melepasi zaman kemuncaknya.

“Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen dan menteri dengan latar belakang undang-undang,” katanya kepada pemberita pada satu acara di Sarawak hari ini.

Walaupun Saifuddin tidak menamakan individu itu, beliau dipercayai merujuk kepada bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, yang dikecam selepas didakwa mempersoalkan MA63 dan melabel Sabah serta Sarawak sebagai beban kepada Persekutuan.

Zaid dilaporkan berkata dalam satu audio siar bahawa memenuhi hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63, termasuk tuntutan 40% hasil bersih, akan memberi tekanan kewangan besar kepada kerajaan persekutuan.

Bekas ahli politik PKR itu turut mencadangkan bahawa negeri-negeri Borneo itu ‘patut dibenarkan keluar’ jika mereka tidak berpuas hati.

Kenyataannya mencetuskan desakan Pemuda PKR Sarawak dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu agar bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu memohon maaf.

Saifuddin berkata banyak kemajuan telah dicapai dalam memenuhi tuntutan di bawah MA63.

“Tumpuan kini adalah pada perkara yang belum dipenuhi dan perbezaan yang perlu kita atasi,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap pihak yang membuat kenyataan sebegitu, beliau berkata laporan mesti dibuat terlebih dahulu.

“Sebaik sahaja laporan dibuat, kita akan melihat undang-undang yang berkaitan. Dan sehingga itu berlaku, saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.