MAIPs sedia permudah urusan bantuan mangsa banjir Perlis

MAIPs sedia permudah urusan bantuan mangsa banjir Perlis

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor berkata pihaknya memberi keutamaan kepada kelancaran urusan mangsa supaya bantuan dapat disampaikan lebih cepat.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mempengerusikan mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perlis di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, Kangar. (Gambar Pejabat Raja Muda Perlis)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan membantu memudahkan urusan bantuan pasca banjir di negeri itu, termasuk dari segi bantuan kewangan dan pembaikan rumah bagi mangsa yang layak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nazim Mohd Noor berkata pihaknya memberi keutamaan kepada kelancaran urusan mangsa supaya bantuan dapat disampaikan lebih cepat, khususnya dalam membaiki kediaman yang rosak akibat bencana.

Menurutnya, bagi rumah rosak teruk seperti runtuh atau dihanyutkan arus, mangsa perlu membuat laporan polis sebelum mengemukakannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.

Jelas Nazim, kerosakan kecil diselia JKM manakala kes besar akan dirujuk kepada MAIPs bagi bantuan pembaikan atau sokongan kewangan tambahan.

“MAIPs sentiasa bersedia membantu dari segi kewangan, baik untuk pembaikan rumah atau keperluan asas, asalkan ia dirujuk melalui saluran rasmi termasuk JKM dan Amil Kariah untuk penilaian awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika tinjauan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Baginda diberi taklimat mengenai situasi terkini operasi bencana dan usaha penyelarasan bantuan.

Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan penghargaan kepada agensi kerajaan, NGO, sukarelawan dan penyumbang dalam membantu mangsa banjir.

Nazim turut menjelaskan kelayakan juga tertakluk kepada syarat asnaf dan garis panduan sedia ada.

Selain bantuan pembaikan rumah, MAIPs turut memproses Bantuan Sara Hidup seperti biasa bagi memastikan mangsa mempunyai sokongan sementara sepanjang tempoh pemulihan pasca banjir.

Mangsa banjir juga diingatkan supaya mendaftar untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pendaftaran melalui imbasan kod QR di aplikasi MyIBJKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.