Azam gesa pegawai SPRM kekal fokus tengah siasat kes profil tinggi

Azam gesa pegawai SPRM kekal fokus tengah siasat kes profil tinggi

Ketua pesuruhjaya SPRM mahu siasatan terhadap Shamsul Iskandar Akin dan Albert Tei disiapkan dalam tempoh seminggu.

Albert Tei dan Shamsul Iskandar Akin (kedua-duanya berbaju oren) hadir ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini untuk direman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, mengingatkan pegawai penyiasat agensi itu supaya kekal fokus sepenuhnya ketika SPRM memperhebat siasatan kes rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan dan bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri.

SPRM menahan bekas setiausaha politik kanan perdana menteri Shamsul Iskandar Akin, bersama ahli perniagaan Albert Tei semalam selepas Tei mendakwa beliau memberi rasuah kepada Shamsul sebagai usaha mendapatkan semula dana yang didakwa diagihkan kepada beberapa Adun Sabah.

Kedua-duanya direman selama enam hari, dengan Azam berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, yang meliputi kesalahan meminta, menawarkan, menerima atau memberi rasuah.

“Saya telah mengarahkan semua pegawai penyiasat supaya kekal fokus dan menyiapkan siasatan dalam tempoh seminggu,” kata Azam sambil menegaskan siasatan mesti dijalankan secara adil dan mengikut undang-undang.

Menurut sumber SPRM, majistret Fatin Muneerah Sofian membenarkan permohonan reman enam hari itu walaupun dibantah peguam kedua-dua suspek, selepas berpuas hati bahawa SPRM memerlukan masa mencukupi untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.